LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menempatkan dua aset udaranya helikopter Agusta Westland AW139 dan AS365 N3 Dauphin di pulau ini bagi memantapkan pengawasan keselamatan perairan negara di sektor utara Selat Melaka, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/ Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly, berkata dua helikopter itu sebelum ini berpangkalan di Stesen Udara Maritim Subang.
“Sepanjang PKP ini, APMM menggunakan tiga kapal dan dua aset udara melaksanakan tugasan pengawasan di perairan negara yang bersempadan dengan Thailand dan Indonesia.
“Dua buah helikopter ini pula dapat membantu APMM membuat pengecaman atau pengesanan lebih cepat.
Semua maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada kapal terdekat di lokasi pengawasan dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis (Langkawi),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Zulinda berkata APMM bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.
“Semua aset ini berada di titik panas dan pemantauan dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan sempadan perairan negara,” katanya.– BERNAMA