Kampung Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar terletak di dalam kawasan Sabak Bernam. Terdapat 2 versi bagaimana nama kampung ini diperolehi.
Versi pertama, menurut cerita orang lama lama di sini. Nama kampung ini diambil bersempena seorang tokoh yang bernama Nakhoda. Selepas itu, datang seorang pedagang bernama Omar yang menaiki sebuah kapal. Kapal Omar telah rosak dan tersadai di bagan (anak sungai). Omar datang ke kampung ini mencari sahabatnya yang bernama Nakhoda. Oleh itu, kampung ini telah diberikan nama Bagan Nakhoda Omar, sempena nama dua orang tokoh yang awal mula meneroka kampung ini. Manakala nama Simpang Empat diambil kerana kedudukan parit/ anak sungai yang mempunyai empat simpang.
Versi kedua berkait dengan kisah seorang lelaki bernama Nakhoda Omar yang datang dari Sumatera bersama pengikut serta barang dagangan. Namun, sewaktu melalui kawasan berkenaan, kapal mereka karam akibat terlanggar batu karang. Nakhoda Omar mengarahkan pengikut yang terselamat memunggah barangan yang ada ke daratan dan mencari makanan dengan menangkap ikan. Di sini, mereka mendirikan kawasan penempatan sementara bagi menanti jika ada kapal dagangan lain yang lalu. Namun, selepas beberapa lama, tidak ada kapal yang lalu dan Nakhoda Omar kemudian mengambil keputusan terus tinggal di sana. Bermula detik itulah kawasan ini dikatakan mula diteroka. Bagi menamakan kawasan itu, pengikut Nakhoda Omar menamakannya sebagai Bagan Nakhoda Omar merujuk kepada nama ketua mereka.